Wednesday, December 25, 2013

Hong Kong: Mahkamah menghukum penjara seorang wanita kerana menyeludup susu formula bayi, kali pertama pesalah dikenakan hukuman itu selepas pihak berkuasa mengharamkan kegiatan mengeksport susu tepung tanpa lesen.

Wanita berusia 37 tahun itu yang kerakyataannya tidak didedahkan, dihukum penjara lima minggu.


Hong Kong melarang penduduknya membawa lebih 1.8 kilogram susu formula keluar dari bandar ini.

Ia dikuatkuasakan Mac lalu selepas penduduk Tanah Besar China membeli susu tepung kerana tidak mempercayai jenama susu domestik berikutan skandal susu tepung dicemari melamin pada 2008.

Pencemaran itu mengorbankan enam kanak-kanak dan menyebabkan 300,000 lagi jatuh sakit.

Kebimbangan mereka beberapa tahun lalu mencetuskan permintaan hingga susu tepung kehabisan di seluruh dunia.

Mengaku bersalah

Larangan itu mencetuskan kontroversi bandar ini meskipun ia menyasarkan peniaga yang menjual susu tepung untuk mendapat untung di China.

“Ia adalah kes pertama membabitkan hukuman penjara serta merta,” kata jurucakap kerajaan, semalam.

Wanita itu mengaku bersalah mengeksport susu tepung formula secara haram untuk bayi dan kanak-kanak dari Hong Kong,” menurut kenyataan kerajaan lewat kelmarin.

“Dia dijatuhi hukuman penjara segera 35 hari,” katanya.

Dia pernah disabitkan tiga kali sebelum ini atas kesalahan sama dan dihukum penjara tertangguh 21 hari pada November lalu.

Kerajaan berkata pesalah mungkin didenda HK$500,000 (RM212,370.76) dan dua tahun penjara.

Walaupun bandar ini dikembalikan kepada pemerintah China pada 1997, ia masih diberi status autonomi dengan undang-undang, dan peraturan kastam sendiri serta mempromosi diri sebagai pelabuhan bebas.

0 comments:

Post a Comment