Ihsan Ismie Ishak, 27, mengingatkan supaya tanamkan dalam jiwa sasaran ingin berjaya, sertakan usaha dan strateginya, sudah tentu kejayaan akan terbentang depan mata. Namun jangan difikir tiada halangan, sebaliknya pandang saja segala kesukaran itu secara optimis dan fikirkan yang ia satu cabaran untuk memperbaiki diri.
Ihsan yang juga graduan jurusan Pengurusan Perniagaan dari Institut
Tun Abdul Razak adalah pengarah syarikat keselamatan Easyway Solutions
(M) Sdn Bhd dan Pengarah Operasi untuk syarikat pekerja asing, Putras
Dagang Sdn Bhd yang semuanya lahir daripada usahanya sendiri.
Kini selepas hampir tiga tahun berpenat-lelah mengukuhkan empayar, anak sulung daripada tiga beradik ini sudah mampu tersenyum melihat hasil titik peluhnya itu. Dua syarikat yang berasaskan penyediaan tenaga kerja asing ini kian membangun. Katanya, itulah mimpi yang kini menjadi realiti.
“Saya anak polis dan sifat disiplin itu sudah ditanam sejak kecil. Malah minat untuk turut menceburi lapangan keselamatan dan badan beruniform sudah lama saya impikan.
“Bagaimanapun perlu diakui, saya tidak mahu hanya menjadi anggota keselamatan biasa sebaliknya ingin mencari kelainan dalam cita-cita itu. Hinggalah satu hari saya mengimpikan untuk memiliki perniagaan keselamatan sendiri.
“Namun betul kata ayah dan keluarga, jika ada keberanian untuk menanggung risiko serta kesungguhan, apa saja boleh direalisasi meskipun masih banyak kekurangan pada diri. Itulah titik tolak saya merencana perjalanan kerjaya.
“Secara profesional, saya memohon lesen perniagaan dan mula mengatur strategi untuk membuka syarikat keselamatan dengan menjadi penyedia khidmat tenaga kerja asing kepada mana-mana pihak di Malaysia yang memerlukannya.
“Memang lain dan pelik untuk anak muda, tapi jujurnya saya begitu puas apabila berjaya membangunkan impian itu hingga ke tahap sekarang,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai Pengurus Akaun di HSBC Bank Malaysia selama tiga tahun sebelum ini.
Prinsip Ihsan dalam mengendalikan syarikat pembekal pekerja asingnya mudah. Produk syarikat adalah manusia. Justeru, untuk berkembang dalam perniagaan ini, kebajikan pekerja mesti diberi keutamaan. Tanpa mereka, tiadalah perniagaan.
Permintaan tinggi
Tambahnya mudah, binatang sekali pun pandai merungut jika lapar dan tidak selesa, apatah lagi manusia. Justeru, kebajikan mereka adalah keutamaannya dalam mengawal kualiti perkhidmatan.
“Syarikat saya menyediakan penginapan dan makan minum untuk kesemua pekerja asing yang kami bawa ke Malaysia. Malah kesihatan mereka juga saya pantau. Semua kebajikan mereka itu adalah aspek paling penting bagi kami,” katanya.
Setakat ini Ihsan sudahpun membawa lebih 500 pekerja asing yang mana kesemuanya dari Nepal untuk bekerja dalam beberapa sektor utama termasuk keselamatan, kerja buruh dan lapangan pembersihan.
Katanya, permintaan terhadap pekerja Nepal sangat tinggi berbanding negara lain menyebabkannya mengambil peluang untuk kerap berkunjung ke sana dan memilih calon yang benar-benar berkualiti bagi dibekalkan kepada pihak di Malaysia.
“Jujurnya, pekerja Nepal jauh lebih berdisiplin dan mengikut peraturan. Mereka kebanyakannya adalah bekas tentera dan datang ke Malaysia untuk bekerja bagi membantu keluarga.
“Malah sepanjang saya beroperasi dan membekalkan pekerja Nepal, belum lagi pihak kami menerima sebarang rungutan kerana mereka sememangnya menjalankan kerja dengan amanah dan patuh.
“Lagipun hanya warga kerja Nepal saja yang boleh diberikan permit bekerja sebagai pengawal keselamatan setakat ini oleh pihak berkuasa Malaysia. Mungkin kerana belum ada lagi sebarang jenayah atau masalah yang ditimbulkan mereka,” katanya.
Bagaimana pula dengan proses syarikat pembekal pekerja asing berfungsi?
Jelas Ihsan, sebaik mendapat lesen untuk menjalankan perniagaan jenis pembekal pekerja asing, pihaknya perlu menghantarkan profil syarikat lengkap dengan perkhidmatan kepada semua organisasi termasuk hotel, swasta dan badan kerajaan jika ada yang memerlukan pekerja.
Sebaik menerima permintaan, syarikatnya akan terus berhubung dengan ejen mereka di negara tertentu umpamanya Nepal. Bilangan tenaga kerja dan kriteria diperlukan akan dinyatakan kepada ejen di sana.
Kemudian ejen akan mencari individu yang menepati kriteria seperti boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, sihat tubuh badan dan ingin bekerja di Malaysia.
Kata Ihsan yang sudah beberapa kali ke Nepal bagi tujuan menemu bual calon pekerja untuk Malaysia, jumlah yang datang selalunya berpuluh ganda lebih ramai daripada jumlah yang pihaknya inginkan.
“Memang kelakar kerana mereka yang datang berbaris untuk ditemu bual mengalahkan program televisyen. Semuanya datang dari pelbagai kampung dengan satu tujuan iaitu untuk bekerja di Malaysia dan menambah pendapatan membantu keluarga.
“Bayangkan saya pernah berdepan dengan lebih 1,000 calon sedangkan saya hanya inginkan 100 saja. Tapi ada kalanya pelanggan syarikat saya meletakkan kriteria yang agak luar biasa termasuklah inginkan pekerja Nepal yang kacak dan bergaya,” katanya berseloroh.
Jaga kebajikan
Bercakap soal cabarannya, Ihsan mengakui yang industri keselamatan tidak lekang dengan risiko dan isu lebih-lebih lagi hari ini begitu banyak kes yang membabitkan pengawal keselamatan hingga mencalarkan reputasi perniagaan ini secara keseluruhannya.
“Bekerja dengan manusia lebih rumit kerana mereka punya perasaan, jiwa dan ‘mood’ yang perlu dijaga. Kerana itu kebajikan mereka adalah keutamaan kami kerana tidak mahu ada masalah timbul membabitkan mereka.
“Kebiasaannya masalah bergaduh di tempat kerja atau disiplin hingga membuatkan pelanggan kami merungut. Apa yang saya lakukan adalah pergi bertemu pelanggan untuk meminta maaf dan melihat permasalahan itu dengan perspektif lebih terperinci.
“Kalau betul ada bergaduh atau masalah disiplin, selalunya saya akan menukar mereka ke tempat lain atau mencari penyelesaian dengan memberi motivasi agar perkara sama tidak berlaku lagi.
“Bagaimanapun, syarikat saya belum lagi berdepan masalah atau kes serius setakat ini, cuma apabila banyak sangat kes pengawal keselamatan termasuk yang terbaru membunuh pegawai bank sudah tentu memberi impak kepada bisnes saya.
“Namun saya masih objektif dan visi dalam perniagaan yang mana kualiti kerja perlu diutamakan walau dalam apa situasi sekalipun,” katanya.
Easyway Solutions dan Putras Dagang yang dipelopori anak muda ini akan terus dikembangkan pada masa akan datang mengikut sasaran yang sudah ditetapkannya termasuk meneroka negara lain pula untuk mencari kualiti tenaga kerja di sana pula.
Kata Ihsan menutup bicara, industri kawalan keselamatan di Malaysia adalah sebuah lapangan yang luas dan menarik. Patuhi setiap prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan dan penguat kuasa undang-undang negara dalam pemeriksaan latar belakang kemasukan pekerja untuk elakkan kejadian tidak diingini.
0 comments:
Post a Comment